Title | Tajuk : Masyarakat dan Seni Lukis
Magazine | Majalah : Bil. 11, Majalah Seni
Author | Penulis : Abdullah
Date | Tarikh : 1 August 1954
Page | Mukasurat : 21
Kita tentu rasa insaf tentang jauhnya bangsa kita tertinggal di dalam lapangan seni lukis, padahal seni adalah satu cabang kesenian yang patut dimajukan oleh setiap bangsa yang ingin hidup terkemuka di dunia. Kalau seni sastera satu alat pembangunan suatu bangsa, maka seni lukis tak kurang pentingnya bagi tiap-tiap bangsa kerana kebudayaan suatu bangsa dan keseniannya dapat ditunjukkan dengan jalan “lukisan-lukisan”. Pelukis-pelukis juga dapat dipanggil sebagai “pendukung seni” suatu bangsa.
Untuk mengetahui kenapa bangsa kita jauh tertinggal di dalam lapangan itu kita terpaksa melihat dari segenap segi. Pertama ialah kurang perhatian dan penghargaan anggota masyarakat terhadap seni lukis ….. Mereka masih belum pandai untuk menilai tinggi atau rendahnya ciptaan pelukis-pelukisnya. Dan dengan sebab-sebab itu pelukis tawar hati untuk menciptakan lukisan-lukisan yang tinggi mutunya kerana kalaupun dapat dia melukis gambar-gambar yang bermutu, penghargaan dan pandangan masyarakat tidak padan dengan usahanya. Dengan sebab itulah maka bangsa kita tidak dapat maju di lapangan itu dan tidak dapat mengadakan pelukis-pelukis yang terkenal ke mata dunia.
Pekerjaan “melukis” kebanyakannya dilakukan dengan sambil-sambil sahaja untuk ditunjuk di tempat-tempat peraduan atau pertunjukan. Di situ sahaja pelukis-pelukis dapat menunjuk dan menjual lukisan-lukisannya dengan harga yang terlalu murah. Jalan untuk memajukannya berilah penghargaan yang berpadanan dengan usaha pelukis-pelukis itu. Berilah pelukis-pelukis itu boleh hidup hasil dari ciptaannya. Dengan ini pelukis-pelukis akan berusaha penuh di lapangan itu dan bangsa kita akan dapat berbangga dengan adanya pelukis-pelukis yang terkenal nanti! (sambungan dari muka 20) kalau tak tahu, aku katakan aku tahu.
Engkau semua tahu “kesenian” itu bukan mudah, bukan hanya tahu dengar lagu-lagu yang sedap, atau kenal dengan seniman-seniwati yang “ulung” terus dikatakan telah menjadi bapak seni, atau bijak dalam seni.
Orang-orang di Barat dan di Timur memandang kesenian itu satu ilmu yang mesti didapati. Setelah banyak membaca dan menulis serta mempraktikkan baharu nampak ilmu seni. Kalau seni itu artinya halus, jadi sudah cukup terang kalau melihat dengan mata kasar sahaja sudah tentu tak nampak apa dia seni itu. Di negeri-negeri yang telah maju, melihat orang bertelanjang itu telah terjumlah melihat seni. Seni ketika itu tidak boleh dimasukkan “seni nafsu”, tetapi seni hati yang tiada kepada kebanyakan orang.
Lagi satu, orang kalau sudah pandai dalam seni selalu hatinya jujur dan baik. Atau tak percaya, lihatlah ahli-ahli seni. Dia boleh bercampur-gaul dengan segala peringkat manusia dan betina, baik berpakaian atau bertelanjang. Pelukis-pelukis yang melihat kesenian betina, dia selalu duduk di hadapan betina-betina yang berani menonton (mempertontonkan) badannya untuk dilukis kerana memenuhkan ruangan kesenian yang hidup. Bukan kesenian yang “mati” dan tak berarti. Dari itu aku mengaku akan melancarkan ruangan kesenian untuk majalah aku ini dengan jujur, dan tidak kawan, dan benar-benar berkenaan kesenian yang engkau semua kehendaki. Bukan namanya sahaja ruangan kesenian, tetapi entah apa isinya tak tahu. Maka dengan ini aku merasmikan pembukaannya ruangan kesenian aku. Tiap-tiap orang ada peluang masuk atau panggil aku, atau menghantar surat kepada aku untuk ruangan kesenian aku ini aku tetap terima.