Title | Tajuk : Lukisan Raden Saleh Menipu Barat
Magazine | Majalah : Bil. 5, Majalah Seni
Author | Penulis : Adi Mas
Date | Tarikh : 22 Jan 1954
Page | Mukasurat : 15
Dia mahu memperlihatkan kepada mata seluruh dunia bahawa orang Timur pun punya kesanggupan penuh andai kata duduk sebaris dengan orang-orang Barat itu. Maka pakaian kebangsaannya itu dipakai olehnya pada hari pertunjukan itu maksudnya agar orang-orang Barat itu mengerti bahawa “dia orang Indonesia”. Tidakkah menjadi hairan di waktu itu ejek, suara bisikan semulut demi semulut dapat dipersaksikan sendiri. Baginya semua itu tidaklah diendahkan. Malah pandangan orang banyak yang memperhatikan dia seorang itu adalah menjadi kemegahan pada dirinya, sedang orang lain tidak begitu.
Demikianlah Raden Saleh, pelukis Indonesia yang masyhur itu. Satu ketika waktu beliau menghadiri pertunjukan besar kesenian di seluruh Eropah yang diadakan pada tahun 184X di negeri Perancis. Dalam pertunjukan tersebut terdapat seorang pelukis Barat yang masyhur sekali mempertunjukkan hasil lukisan-lukisannya. Di antaranya yang menarik perhatian para-para pelukis di waktu itu ialah hasil lukisannya gambar sekuntum kembang mekar lengkap dengan daun dan batangnya, terlalu indah dan amat persis perbuatannya.
Waktu itu semua orang jadi tercengang hairan melihat gambar kembang mekar itu kerana benar-benar menyerupai bunga-bunga yang berkembangan di dalam taman. Sedang sekelian ahli-ahli pelukis Barat itu asyik melihat-lihat gambar itu, maka dengan tiba-tiba seekor kumbang datang menghinggapi ke sana laksana ingin menghisap madu bunga itu lagaknya.
Kejadian-kejadian yang dianggap aneh itu, orang ramai tambah memuji-muji tukang pelukis gambar itu. Kerana itu pelukis gambar itupun dengan bangganya berkata dengan tidak mahu pakai kecuali lagi: “Tuan-tuan … saksikanlah sendiri dengan mudahnya kita dapat menipu binatang-binatang kecil itu, dan … orang Timur sudah tentu tidak sanggup mencipta seperti itu.” Pelukis itu berkata diakhirnya dengan ketawa terbahak-bahak. Raden Saleh merasa tersinggung sekali kerana hanya dia seoranglah orang Timur dalam pertunjukan tersebut. Dengan tidak memberi waktu lagi Raden Saleh bangun pergi meninggal perkarangan itu.
Perbuatan Raden Saleh itu sudah tentu tidak menyenangkan hati pelukis bunga itu. “Saudara … mari kita cari kawan itu.” Demikianlah berkata seorang di antara mereka itu, mungkin mahu meminta maaf atas kelanjuran kata-kata tadi agaknya.
Puas mereka mencari Raden Saleh sekeliling kota tidak bersuapun. Akhirnya mereka beramai-ramai pergi ke rumah tumpangan Raden Saleh. Waktu itu rumah tumpangan Raden Saleh itu pintunya sedang terbuka luas. Mereka sekelian pun masuk dengan memanggil-manggil nama Raden Saleh, tetapi tidak bertemu. Orang-orang itu menuju ke kamar tidur beliau. “Ah,” begitulah suara orang-orang yang memasuki kamar itu. Alangkah ngerinya mereka melihat Raden Saleh terlentang berlumuran dengan darah. Di dadanya tercacak sebilah keris pendek yang ikut berlumuran dengan darah merah. Dilihat kelihatan darah sangat banyak. Sekelian ahli-ahli lukis yang masuk ke dalam kamar itu merasa takut. Gentar seluruh tubuh mereka melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Raden Saleh membunuh diri.
Sedang sekelian mereka berdiri dengan rasa takut itu, Raden Saleh yang sebenar-benarnya keluar dari belakang gambar itu. Dengan tersenyum beliau berkata: “Ah … tuan-tuan cuma sanggup menipu binatang-binatang kecil!! Tetapi aku dapat menipu tuan-tuan semua.” (Demikian Ariffin Zainol dalam bukunya Pelajaran Menggambar).
Demikian kepandaian Raden Saleh pelukis Indonesia itu. Sejak itu dia dihormati oleh kawan-kawannya yang di Barat sana. Juga dia sangat dimalui oleh mereka (Barat).
Pada tahun 1880, Raden Saleh pulang ke rahmatullah dalam usia 66 tahun.