Title | Tajuk : Pahlawan Tanahair – Raden Abdullah
Magazine | Majalah : Majalah Mastika
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : February 1956
Page | Mukasurat : 12 – 13
Indonesia sekarang bukan saja kaya dengan hasil seni lukisnya tetapi juga kaya dengan pelukis-pelukisnya. Telah banyak pelukis-pelukis muda Indonesia yang lahir membawa bentuk dan aliran yang berbagai-bagai, tetapi dengan suatu maksud dan tujuannya: kesenian yang hidup dan maju!
Nama-nama Afandi, Basuki Abdullah, Sudjojono, Hendra, Supti Hudojo, dan banyak lagi itu adalah nama-nama pelukis Indonesia yang terkenal dan tidak asing lagi bagi penduduk-penduduk Melayu Malaya, terutama pencinta-pencinta seni lukis. Tetapi sebelum mereka, ini ada pula seorang seniman, seorang pelukis yang terkenal dan kini sangat dihargai oleh rakyat Indonesia khasnya dan peminat-peminat lukisan seluruhnya.
Beliau ialah Raden Abdullah, putera kedua dari Doktor Wahidin Sudirohusodo, bapa pergerakan nasional “Budi Utomo” yang tidak asing lagi namanya bagi tanahair seluruhnya.
Raden Abdullah dilahirkan pada tanggal 17 Oktober 1878 di Semarang. Ayahnya, sebagai seorang doktor, menginginkan agar anaknya menurut jejaknya. Maka itulah Raden Abdullah setamatnya dari sekolah terus melanjutkan pelajaran dalam ilmu kedoktoran.
Tapi ternyata antara anak dan ayah mempunyai darah cita-cita yang berbeda. Jiwa Raden Abdullah lebih kuat kepada seni lukis. Perhatiannya kepada pelajarannya hampir tak ada, malahan di tangannya selalu terpegang pensil dan kertas dan dia menggambar apa saja yang ditulisnya. Hal ini berlaku sejak ia menempuh sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah dan ke sekolah doktor.
Akhirnya Raden Abdullah mengalami hidup sebagai pegawai polis, bekerja di kilang sabun dan lain-lain pekerjaan. Tetapi tidak ada suatupun yang tetap kerana seluruh perhatiannya tetap tertuju kepada melukis.
Hasil lukisannya semakin hari semakin baik. Dan atas kepercayaan bahawa dia mesti menjadi seorang pelukis yang sebenarnya, maka Raden Abdullah telah melanjutkan pengetahuannya dalam ilmu lukis ke Eropah. Dari negeri Belanda beliau melanjutkan pengetahuannya ke Paris dengan penuh tekun dan usaha.
Sesudah itu beliau kembali semula ke negeri Belanda dan tinggal di sana mencuba kepandaiannya. Beliau membuat karikatur-karikatur dan lalu mengirimkannya kepada akhbar-akhbar. Pada tahun 1917 beliau kembali ke Indonesia kerana ayahnya sakit, tetapi tidak dapat menemuinya kerana sebelum itu ayahnya telah kembali mengadap tuhannya.
Sejak itu Raden Abdullah mengalami keadaan hidup yang payah bersama anak-isterinya. Beliau menyewa rumah yang kecil dengan sewa satu rupiah setengah sebulan. Di sanalah dia meneruskan usahanya melukis.
Hasil lukisannya tidak tentu. Kadang satu rupiah setengah sehari, kadang lebih sampai berpuluh-puluh rupiah. Tetapi ternyata kesusahan hidup semakin bertambah sehingga beliau keluar dari rumahnya kerana tidak mampu membayar sewa. Dan penderitaan ini ditambah pula dengan meninggalnya seorang putera yang amat dicintainya.
Dalam menghadapi mayat anaknya, di tangan beliau masih terpegang alat melukis. Dengan segala kesedihan dan keterharuannya perlahan-lahan tangannya menggaris kanvas, membentuklah mayat anaknya sebagaimana dalam ingatannya.
Di saat beliau melukis itulah masuk doktor XXX /ms 13/ XXX untuk memeriksa mayat anak itu. Betapa terkejutnya doktor XXX itu demi melihat gambar lukisan yang begitu mengharukan. XXX mengagumi keahlian Raden Abdullah.
XXX akhirnya gambar tersebut dibayar dengan harga 350 rupiah – XXX jumlah yang amat besar, apa lagi bagi seorang yang sedang kesusahan seperti Raden Abdullah. Barulah ketika itu hasil XXX beroleh penghargaan.
Wang sebanyak itu bukan saja memberikan kelegaan bagi kehidupannya, tetapi juga menimbulkan semangat yang lebih besar untuk menghadapi pekerjaannya. Sejak saat itulah namanya mulai XXX, mulai meningkat tinggi dan masyhur ke seluruh tanahair, malah dianggap sebagai ahli lukis yang masyhur sesudah Raden Saleh (seorang pelopor dan pelukis yang terkenal). Lukisan Raden Abdullah yang paling terkenal ialah “Hardaulika”, iaitu XXX melukiskan Nagaraja terbang di angkasa kena anak panah Arjuna, XXX berlumuran darah di tengah-tengah mega yang keputih-putihan.
Lukisan-lukisan lain banyak pula sehingga seringkali dipertunjukkan dalam pameran-pameran lukisan.
Demikianlah detik hidup seorang pelukis Indonesia sesudah Raden Saleh.
Raden Abdullah mempunyai dua orang putera yang juga pemuja XXX pendokong seni. Seorang ialah Basuki Abdullah, pelukis yang terkenal sekarang ini. Dan seorang lagi Nyi Trijoto XXX Soeharto. Seorang puteri menjadi seorang ahli patung yang juga terkenal sekarang ini.
Demikianlah salah seorang pelukis Indonesia yang sekarang telah tidak ada lagi di dunia ini. Tetapi darahnya tetap mengalir, bukan saja di tubuh kedua orang putera-puteri tetapi juga pada beberapa orang pelukis lainnya.
Baru-baru ini telah tertubuh sebuah badan “Angkatan Pelukis Muda” yang diusahakan oleh beberapa orang pemuda yang menaruh perhatian dalam lapangan seni lukis. Moga-moga “Angkatan Pelukis Muda” akan menjadi imbangan pula dalam lapangan kebudayaan dengan “Angkatan Sasterawan 50” dan lain-lain badan kebudayaan untuk mempertinggikan kesenian dan kebudayaan bangsanya dengan cara dan dalam lapangan yang berlainan, tetapi dengan suatu dasar dan tujuan, iaitu pembangunan kebudayaan rakyat.
Usaha-usaha dan kegiatan-kegiatan yang ditunjukkan oleh pendokong-pendokong kebudayaan Indonesia telah memberikan isi kepada pembangunan dan pertumbuhan kebudayaan rakyatnya. Dan ini adalah suatu sumbangan yang besar bagi kemerdekaan Indonesia, negara muda itu.
Hal yang demikian ini amatlah baik diteladani oleh putera-puteri Semenanjung yang sedang berdiri di pintu kemerdekaan tanahair dan bangsanya. Kebudayaan adalah penting dalam sebuah negara yang merdeka, kerana kebudayaan inilah pancaran dan bayangan jiwa rakyatnya. Kita hendak membina dan membangunkan suatu masyarakat, dan yang baik dalam sebuah negara yang merdeka haruslah berusaha untuk memberikan pertubuhan kebudayaan nasional yang berjejak dan berasaskan kebudayaan rakyat, tetapi dalam bentuk dan cara perkembangan yang modern.
Asia telah bangun dan Malaya, sebagai sebuah negara dalam lingkungan benua Asia, hendaknya dapat disejajarkan dengan negara-negara Asia lainnya dalam segala hal dan soal. Demikianlah hendaknya.