Antara Timur dan Barat

1952-julai

Title | Tajuk : Antara Timur dan Barat
Magazine | Majalah :  Majalah Mastika
Author | Penulis : Mahmud Ahmad
Date | Tarikh : Julai 1952 | Special July Issue
Page | Mukasurat : 15 – 16

[Cikgu Mahmud Ahmad tidak asing lagi dalam kalangan persatuan bahasa Melayu angkatan lama dan angkatan baru. Beliau mempunyai kecenderungan yang istimewa terhadap kebudayaan dan sehingga hari ini menjadi pensyarah kebudayaan di Radio Malaya Bahagian Melayu Singapura]

Semenjak dahulu, pertentangan antara Timur dan Barat selalu ada. Kipling membayangkan pendapatnya dalam perkara itu dan disimpulkannya dalam serangkap syairnya yang amat masyhur iaitu:

Barat tinggal Barat,

Timur tinggal Timur,

Dan tak pernah keduanya itu akan bersatu.

Fikiran Kipling adalah fikiran yang mewakili kebanyakan fikiran ahli-ahli penyiasat Barat tentang hal keTimuran. Tetapi nampaknya setelah selesai Perang Dunia yang kedua, maka dasar-dasar fikiran yang demikian itu telah tidak kuat lagi, telah akan terbongkar seluruhnya.

Pandanglah keadaan dunia hari ini hingga mana dapat disempadankan antara Timur dan Barat. Sempadan-sempadan dahulu yang biasa disebut “atas angin dan bawah angin” telah kalis dan tidak pernah disebut orang lagi.

Kita orang Melayu khasnya dan seluruh bangsa Timur amnya tidak dapat lagi hendak memilih dengan senang yang mana kebudayaan kita sendiri, kebudayaan Timur, dan yang mana pula yang sebenar-benarnya kebudayaan Barat. Kalau sengaja disiasat dan diselidiki memang berjumpa, tetapi biasanya kita tidak sedar lagi sebab telah terpengaruh benar.

Bukan saja kita yang terpengaruh demikian itu, bahkan orang dunia Barat pun demikian juga. Mereka sebagai bangsa-bangsa yang bertamadun tinggi seboleh-bolehnya hendak mempertahankan kebudayaan mereka. Tetapi nyatalah tidak dapat dan akhirnya akan menjadi barang yang mustahil akan mempertahankan kebudayaan mereka.

Setelah keadaan hidup mereka melalui jurang-jurang yang dalam oleh sebab perasaan “yang tak puas” yang menjadi tujuan hidup mereka, maka timbullah berbagai-bagai kemelut (krisis). Sekarang mau tak mau mereka merenung balik kepada falsafah Timur yang tujuan hidupnya kepada keTuhanan.

Dengan tujuan menyatukan kebudayaan Timur yang berwujud kepada keTuhanan dan kebudayaan Barat yang bercita-cita kepada hidup bebas-lepas, maka diciptakanlah UNO pada dasar politiknya untuk menjaga jangan ada lagi kecerobohan-kecerobohan dunia seperti yang sudah-sudah, dan pada dasar kebudayaan ialah untuk melaksanakan “dunia satu”, satu cita-cita kepada keamanan dan kemakmuran dan satu kebudayaan baru yang sesuai bagi Barat dan Timur. Maka garis-garis besar cita-cita itu sedang dijalankan dan pada beberapa bahagian seperti bahagian-bahagian UNISCO dan ESCAFE telah menunjukkan hasil-hasil yang cemerlang. Sekiranya usaha-usaha itu betul-betul terletak di atas kejujuran maka hasilnya akan segera tercapai. Tetapi kalau cita-cita itu sebagai topeng saja, maka sesialah kelak.

***

Dalam pada itu janganlah kita lupa bahawa tiap-tiap bangsa ada kebudayaannya sendiri-sendiri yang telah dipusakainya daripada datuk-neneknya, iaitu pusaka yang tak dapat diinjak-injak tetapi boleh menerima perubahan dan berbagai-bagai corak baru.

Kalau orang kita sedar akan hal /ms 16/ ini, yakni sedar bahawa kita satu bangsa yang mempunyai jiwa yang bersendiri dan telah mempunyai tamadun pada masa yang lampau, maka mereka akan dapat menimbulkan semula pusaka lamanya yang telah terpendam itu dan akan dapat menghidupkannya dengan menambah mana-mana yang kurang menurut keadaan dunia modern sekarang ini.

Supaya hal ini menjadi jelas, baiklah saya perkatakan agak lanjut sedikit, iaitu kedudukan kebudayaan kita seperti ini:-

Bahawa hakikat kebudayaan yang kita pusakai ialah berdasarkan keTuhanan. Falsafahnya berdasarkan persatuan hidup antara Tuhan dan manusia, yakni Tuhan itulah yang Maha Kuasa; antara manusia dengan alam; antara dunia lahir dan dunia batin. Maka cita-cita kebudayaan Melayu khasnya dan kebudayaan Timur amnya menuju kepada “kebahagiaan batin”.

Dengan cita-cita itu orang Melayu dan seluruh orang Timur tidak mengutamakan hal keduniaan, hal harta-benda (material). Inilah yang menyebabkan kita kalah dalam masa berhadapan dengan kebudayaan Barat yang memusatkan cita-citanya kepada kekayaan, kepada kemajuan lahir dan kepada kepentingan perseorangan (diri sendiri).

Tetapi sekarang dengan akibat kebudayaan Barat yang telah membanjiri Dunia Timur seperti hari ini, maka kebudayaan Timur pun telah berubah corak, iaitu dimasuki oleh ilmu pengetahuan dan teknik. Perubahan itu terus berjalan, tidak akan dapat ditahan-tahan lagi sehingga nanti timbul satu kemelut baru pula.

Sebagaimana telah disebutkan di atas ini tadi bahawa kebudayaan Barat itu telah dipengaruhi pula oleh kebudayaan Timur banyak atau sedikit. Tetapi sekurang-kurangnya orang-orang Barat telah merasa bahawa hidup manusia tidak akan beroleh bahagia selagi mereka cuba melepaskan dirinya daripada ikatan Tuhan.

Kebudayaan Barat yang memuja kebendaan – lepas daripada kekuasaan Tuhan – yang menjadi dasar tamadun Barat sekarang ini telah retak dan akan roboh. Maka suatu kebudayaan baru akan timbul menggantikannya. Sekarang hal yang dihadapi oleh manusia iaitu Barat akan berubah dasar dan Timur akan berubah corak, dan satu bahagian dunia lagi akan menunjukkan pakarnya dengan cita-cita paksa yang bernama totalitarianism dan communism.

Kedua-dua aliran itu sangatlah berlawanan dengan cita-cita demokrasi Barat dan aliran yang berfaham kepada keTuhanan, istimewa bagi kita orang Melayu yang beragama Islam.

Dalam aliran fikiran yang demikian itulah sekarang kita akan membina kebudayaan kita. Iaitu bukan suatu perkara yang mudah. Dalam garis-garis besar pembinaan itu kita hendaklah sedar di atas perkara-perkara ini:-

  1. Dasar persatuan masyarakat bangsa kita.
  2. Semangat ilmu pengetahuan dan teknik hendaklah diperluaskan supaya taraf penghidupan dapat ditinggikan.
  3. Jangan meniru dengan buta-tuli saja, melainkan hendaklah penuh dengan kesedaran.

 

Comments are closed.