Title | Tajuk : Perempuan dalam Majlis Meshuarat
Magazine | Majalah : Qalam
Author | Penulis : Al-Ḥaj ʻAbd al-Malik Karīm Amr Allāh (Hamka)
Date | Tarikh : Bil 42, Januari 1954
Page | Mukasurat : 34-37
Qalam dengan gemarnya menyiarkan di bawah ini maqalah pujangga Hamka yang bertajuk “Perempuan Dalam Majlis Meshuarat” iaitu suatu mawḍūʻ yang sangat mustaḥaq diketahui dan difaham dengan jelas kerana mengenai jenis yang lembut. (Pengarang Qalam)
Di dalam kaedah ilmu uṣūl al-fiqh ada tersebut: “al-ḥukmu yadūru maʻa al-‘illah”, ertinya segala ḥukūm itu berputar bersama ʻillah-nya. Ada ʻillah ada ḥukūm. Berubah ʻillah berubah pula ḥukūmnya. Oleh kerana yang demikian maka dengan sendirinya perubahan tempat (makān) dan waqtu (zamān), bukan sedikit pula mengubah ḥukūm. Masalah-masalah amar (perintah) dan nahī (larangan) di dalam al-Qur’ān dan al-ḥadīth yang terang jelas (ṣarīḥ) naṣnya pun selalu dijelaskan ʻillah-nya, mithālnya perintah sembahyang dikatakan: “Inna al-ṣalāta tanhā ʻani al-faḥshā’i wa al-munkar”. Sembahyang itu mencegah daripada kekejian dan mungkar. Zina pun dilarang. ʻillah-nya pun dinyatakan: “Innahu kāna fāḥishah” – zina itu adalah sangat keji.
(Oleh: al-Ḥajj ʻAbd al-Malik Karīm Amr Allāh)
Maka di dalam perkara-perkara yang tidak ada naṣnya yang ṣarīḥ dalam Qur’ān dan al-ḥadīṭh, baik amar atau nahī, berlakulah qiyās, atau ijtihād. Orang-orang yang berfaham tua mengatakan pintu ijtihād telah tertutup. Pada hal banyaklah timbul masalah-masalah baharu di dalam mashārakat yang naṣnya di dalam al-Qur’ān atau al-ḥadīṭh yang terang melarang atau menyuruh (ṣarīḥ) tidak ada kalau kita berpegang dengan kata-kata “pintu ijtihād telah tertutup” ertinya kita sendirilah yang menutup mata dan fikiran kita di dalam menghadapi kenyataan-kenyataan yang tumbuh di dalam mashārakat.
Mithālnya tentang adakah ḥaqq qawm perempuan untuk turut di dalam permeshuaratan, menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat? Di dalam Parlimen?
Kalau kita pergi kepada al-Qur’ān, tidaklah ada naṣ yang ṣarīḥ menyuruh atau melarang. Yang jelas mithālnya mengatakan janganlah perempuan duduk di dalam Parlimen, atau hendaklah perempuan duduk di dalam Parlimen, yang ada hanya kata-kata umum. Mithālnya “wa amruhum shūrā baynahum” (pekerjaan mereka adalah meshuarat di antara mereka), dan “wa shā wirhum fi al-amr” (dan bawa meshuaratlah mereka di dalam pekerjaan itu). Ini pun pintu ijtihād. Ada setengahnya mengatakan bahawa perempuan tidak masuk di dalam ḍamīr “hum” itu. Sebab “hum” ialah ḍamīr jamaʻ ghayb bagi muzakkar (lelaki). Kata setengahnya perempuan pun masuk di dalam “hum” itu. Seumpama “yā ayyuhā’lladhīna āmanū”. Bukanlah semata-mata khiṭāb kepada lelaki, perempuan pun masuk di dalamnya.
Oleh sebab itu teranglah bahawa daripada al-Qur’ān sendiri pun kita hanya dapat berijtihād. Menampakkan ḥukūm harāmnya (masalah-masalah yang seperti itu – Pengarang Qalam) hanya dengan ijtihād atau qiyās. Dan ijtihād atau qiyās itu tidaklah sama di antara satu mujtahid dengan mujtahid lain, kerana berlainan pula cara mereka memandang menurut pengalaman-pengalaman pengaruh tempat (makān) dan waqtu (zamān).
Di dalam ḥadīṭh atau di dalam sunnah pun tidak ada larangan tegas perempuan turut dalam Parlimen atau perwakilan; sebab pada zaman Rasulullah (S.A.W) belum ada Parlimen atau perwakilan sebagai sekarang ini. Kalau kita cari-cari hanya bertemu bahawa perempuan itu pernah datang bertanya urusan rumahtangganya kepada Rasulullah (S.A.W), pernah turut di dalam peperangan memberikan bantuan-bantuannya mengubat orang lalu menolong orang sakit, dan diizinkan pergi bersama-sama sembahyang ʻayd ke tanah lapang, dan tidak dilarang pergi ke jemaah.
Kerana itu melarang atau mewājibkan perempuan turut di dalam perwakilan hanyalah dengan ijtihād. Dan di dalam undang-undang uṣūl al-fiqh juga tersebut bahawasanya uṣūl segala ḥukūm itu ialah boleh, (al-‘uṣul fī al-ḥukmi al-ibāḥah). Jadi kalau kembali kepada undang-undang pokok, berdasar undang-undang ini, ḥukūm aṣalnya perempuan boleh turut jadi anggota Parlimen. Kalau hendak menetapkan ḥukūm melarang, hendaklah ijtihādnya yang tepat. Mewajibkan pun hendaklah dengan tepat pula.
Sekarang mari kita ambil contoh negara-negara Islām dan pandangan ʻulamā’-ʻulamā’nya tentang perempuan menjadi anggota Parlimen itu.
Di Mesir:
Di dalam negara ini ʻulamā’-ʻulamā’ Islām belum mengizinkan perempuan duduk di dalam Parlimen. Apa sebab? Keadaan negara itu (makān) belum mengizinkan. Qawm perempuan yang terdidik di dalam didikan agama belum banyak. Hanya yang terbanyak perempuan didikan Barat. Yang menuntut dibolehkan duduk di Parlimen oleh qawm ibu didikan Barat (Perkumpulan Bintu al-Nīl). Imbangannya dari didikan Islām masih sedikit sekali. Bukankah al-Azhar sendiri sampai sekarang belum menyediakan tempat belajar agama bagi perempuan? Sehingga tiga orang puteri al-Faḍil al-Ustādh Faḍlullāh Suḥaimī yang hendak belajar agama di al-Azhar tidak dapat diterima kerana tempat tidak ada?? Baharu sekarang pergerakan al-Ikhwān al-Muslimīn mengadakan didikan keIslāman qawm ibu dengan nama al-Ikhwān al-Muslimāt.
Di Indonesia:
Di Indonesia sekarang ini ʻulamā’-ʻulamā’ Islām mewajibkan seluruh Muslimīn dan Muslimāt memilih wakil Islām jika terjadi pemilihan umum. Dan pemerintah Indonesia sekarang, (yang belum berpemerintahan menurut hukum Islām) memberi juga ḥaqq terpilih dan memilih wakil Islām, tetapi ḥarām memilih perempuan, akan timbullah fitnah daripada pihak musuh-musuh Islām, baik qawm kebangsaan yang benci agama, atau qawm komunis yang hendak menghapuskan agama. Kerana fitnah ini akan pecahlah kekuatan ummat Islām di dalam mencapai cita-cita memberi bentuk pemerintahan Indonesia dengan bentuk Islām. Pada hal di dalam kenyataannya kelak akan ternyata bahawa tidak jugalah akan banyak wakil perempuan itu di dalam perwakilan. Dan perempuan-perempuan yang akan bersemangat sebagai lelaki memperjuangkan soal-soal kenegaraan atau kemashārakatan, baik di sudut dunyā yang mana sekalipun, belum tentu satu orang di dalam 100,000 orang – dan akan rugilah perjuangan Islām kalau pihak-pihak yang bukan berjuang di dalam Islām qawm perempuannya berḥaqq memilih dan dipilih sedang pihak Islām hanya mewajibkan perempuan memilih wakil lelaki sahaja dan ḥarām memilih sesamanya perempuan.
Padahal di Indonesia jauh berbeza dengan di Mesir. Di dalam mashārakat Islām yang kuat sebagai Minangkabau dan Acheh, semenjak dahulu perempuan itu turut bekerjasama dengan lelaki. Di Acheh dari dahulu sampai sekarang perempuan turut pergi berperang. Baru-baru ini isteri Kolonel Hussin Yusuf memimpin pemberontakan dengan naik kedua, hingga tewas. Pada hal dia baharu menzahirkan anak. Pergerakan-pergerakan agama sebagai Muhammadiyah, Nahdlatul Ulama, Masyumi dan lain-lain mempunyai bahagian untuk qawm perempuan. Pendeknya semenjak 40 tahun ini, qawm ibu Islām Indonesia jauh lebih maju di dalam beragama daripada qawm ibu Mesir, yang oleh kerana pintu al-Azhar tertutup selama ini, perempuan-perempuan itu “lari” belajar cara Barat, dan menukar pakaiannya dengan cara Barat. Ada pun pada pendapat saya sendiri, duduk di dalam Parlimen itu pada asalnya bukanlah tempat perempuan. Perempuan ada ḥaqqnya dan ada kewajipannya. Kewajipan perempuan adalah mendidik puteranya menjadi putera bangsa dan ummat yang gagah perkasa. Dan di dalam mashārakat kampung lelaki membajak sawah, perempuan menghantar kopi dan nasi. Membajak dan menghantar nasi sama-sama penting. Kalau perempuan telah mengerjakan kerja lelaki, siapa mengatur rumahtangga?? Pada hal bagi kita orang Islām, rumahtangga itulah pokok mendirikan mashārakat dan agama. Kalau suaminya jadi anggota Parlimen, isterinya wajib menjaga benteng rumahtangga. Menjaga jiwa dan badan suaminya. Dan kalau isteri jadi anggota Parlimen si lelakilah yang wajib menjaga rumahtangga. Dialah ke dapur, melihara anak, dan menyediakan makan buat anggota Parlimen yang terhormat yang akan pulang pukul satu nanti. Kalau jumlah lelaki yang tidak mahu bertukar letak itu masih lebih banyak daripada yang mahu, maka perempuan yang akan jadi anggota Parlimen itu tidaklah akan banyak. Sayang sekali, di antara lelaki yang belum mahu berganti tempat itu ialah saya sendiri. Ada yang berkata: Serahkan pada babu! Ku jawab: Bukankah babu itu perempuan juga? Selamanyakah orang suka jadi babu?
Kalau begitu maka perempuan-perempuan yang akan jadi anggota Parlimen itu ada kalanya:
1. Perempuan janda,
2. Perempuan yang belum merasai nikmat kahwin,
3. Perempuan yang lebih gagah daripada suaminya,
4. Perempuan yang pidatonya di parlimen dibuatkan suaminya atau kawan lelaki sepertinya.
Demikianlah duduknya perempuan di parlimen kalau susunan mashārakat kita masih berdasar kepada rumahtangga secara Islām. Lain halnya dengan di Barat di dalam negeri-negeri yang berdasar industri. Di sana lelaki dan perempuan sama pergi kerja. Sama-sama pergi ke kantor. Anak-anak diserahkan ke rumah pemeliharaan anak-anak. Dan kadang-kadang kalau takut anak akan banyak, lalu meminta ubat kepada doktor, pencegah banyak anak. Tetapi setelah saya datang ke Amerika saya perhatikan setelah qawm perempuan diberi ḥaqq memilih dan terpilih itu, tidak juga banyak wakil perempuan di dalam parlimen. Dahulu (100 tahun yang lalu) perempuan menuntut ḥaqq sekeras-kerasnya, sekarang setelah diberi, nyatalah yang duduk di dalam Parlimen itu tidak juga banyak jumlahnya. Mashārakat perempuan pada umumnya sudah kembali kepada inṣāf akan kewajipannya yang aṣāl. Kalau tidak orang-orang millionaire, kalau hanya orang biasa lebih sukalah dia memelihara rumahtangga dan anak-anaknya di rumah. Jarang yang memakai babu. Dia sendiri membeli keperluan dapur ke kedai. Dia sendiri membawa pulang. Dan dalam Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang jumlah penduduknya 160 juta itu, wakil qawm wanita tidaklah sampai 20 orang – dan negeri Sweden sampai sekarang perempuan masih tetap memandang bahawa duduk dalam perwakilan itu bukanlah tugasnya. Wal hasil, perempuan Barat sekarang hendak kembali ke dalam keindahan rumahtangga. Sudah bukan sedikit jumlahnya yang merasa semenjak zaman industri ini nikmat rumahtangga telah hilang. Mereka mulai mencela hidupnya sendiri. Adapun perempuan-perempuan di Timur berseru-seru minta ḥaqq, sehingga lupa kewajipannya. Kadang-kadang sebabnya tiada lain hanyalah kerana merasa bahawasanya hidup yang lebih bagus dan lebih indah itu hanyalah hidup secara Barat. Kadang-kadang dibungkus keinginan hendak menzahirkan diri di muka umum, supaya nampak oleh lelaki dengan sebutan yang lebih halus iaitu ḥaqq minta disamakan dengan lelaki. Ḥaqq jadi anggota Parlimen. Kadang-kadang juga kita dengar perempuan-perempuan yang keras suaranya. Banyak bantahannya di dalam rapat bersama-sama lelaki dan perempuan, membantah ke sana menentang ke mari, setelah diselidiki ternyata ada beberapa penyakit jiwa yang menimpa dirinya, yang perlu diselidiki oleh ahli-ahli ilmu psikologi. Tidaklah saya mendapat naṣ yang ṣarīḥ melarang perempuan jadi anggota Parlimen atau perwakilan. Baik dari al-Qur’ān atau dari al-ḥadīṭh. Kalau saya hendak menetapkan ḥarāmnya, lain tidak saya hanya akan menetapkan lebih dahulu pendirian saya sendiri, lalu saya beri alasan dengan al-Qur’ān atau al- ḥadīṭh.
Lelaki dan perempuan memang sama berḥaqq dan sama berkewajipan. Tetapi tidaklah sama ḥaqq dan sama kewajipan. Tumbuhan suatu ḥukūm adalah menurut ʻillah. ʻIllah dipengaruhi oleh zamān dan makān, waqtu dan ruang. Kalau sekiranya duduk di dalam Parlimen itu dipandang oleh qawm perempuan adalah ḥaqqnya juga, saya percaya tidaklah seluruh perempuan akan menerima ḥaqq itu. Lebih banyak jumlahnya perempuan yang masih tetap berpendirian bahawa ḥaqqnya yang sebenarnya adalah mendidik anak, mengatur rumahtangga. Kerana dari didikan yang baik dan rumahtangga yang berbahagia jugalah datangnya ummah besar dan jiwa yang merdeka.
Saya tidaklah melarang perempuan jadi anggota Parlimen, saya tidaklah mengḥarāmkan, lebih baik diberikan ḥaqq itu. Keadaan kelaknya akan menunjukkan setelah dia duduk di sana, bahawasanya perempuan tetap perempuan. Walau dianya duduk di mana. Yang inṣāf akan segera kembali pulang, dan yang telah merasa dirinya sebagai lelaki atau yang ingin menunjukkan bahawa dia lebih gagah dari lelaki biarlah tinggal, supaya Parlimen itu lebih “ramai” – kalau tidak dilepaskan lebih dahulu, keadaan akan lebih “ramai”.
Di Indonesia perempuan berḥaqq memilih dan dipilih!