Title | Tajuk : Bangsa Melayu dengan Kebudayaannya
Magazine | Majalah : Bil. 11, Majalah Seni
Author | Penulis : Abdul Rahman Bin Hassan
Date | Tarikh : 1 August 1954
Page | Mukasurat : 23 – 25
/ms 23; kolum “Ruangan Kebudayaan”/ BANGSA MELAYU DENGAN KEBUDAYAANNYA
Oleh Abdul Rahman bin Hasan (Naib Yang DiPertua Persatuan Kebudayaan Melayu Singapura)
(Di bawah ini kita siarkan ucapan En. Abdul Rahman bin Hasan, seorang guru trengkas Melayu yang terkenal, yang telah dibuatnya di majlis mesyuarat agung Persatuan Kebudayaan Melayu Singapura yang pertama. Kita telah memotong beberapa bahagian supaya dapat disuai untuk siaran rencana ini. Hanya khas disiarkan oleh Majalah Seni – pengarang seni)
Persatuan Kebudayaan adalah ditubuhkan dengan cogannya: Kebudayaan Nilai Bangsa. Panduan ini sungguh ringkas tetapi ia dengan tepatnya membawa pengertian bahawa kebudayaan ialah menentukan sesuatu bangsa di muka bumi ini. Maka dengan adanya kebudayaan yang tertentu baharulah dunia nampak satu bangsa yang tertentu. Itu sebabnya cogan Persatuan Kebudayaan sedang memperjuangkan kebudayaannya buat meninggikan bangsanya. Kita tidak dapat mengenal sesuatu bangsa dengan apa juga corak dan warnanya, tetapi kebudayaan itulah akan dapat menunjukkan sesuatu bangsa yang tertentu. Kita tidak akan dapat mengenali berbagai-bagai bangsa di benua Eropah kerana masing-masing bercorak dan berwarna serupa belaka, jika mereka pula berbahasa satu. Tetapi kebudayaan merekalah sesungguhnya dapat mengasingkan Bangsa Perancis dengan Jerman, Poland, Inggeris dan sebagainya.
Bangsa Melayu telah terkenal di seluruh dunia sebagai bangsa yang bertamadun, berperangai lemah-lembut dan bersopan-santun. Dan beradat resam ini adalah semuanya terdiri daripada satu “pusat” yang tertentu, iaitu kebudayaan Melayu yang telah tertapis dari satu proses kepada yang lain mulai dari zaman datuk noyang kita, dan duduk dalam anggota kita dan meresap menjadi darah daging. Sungguhpun banyak dari kita barangkali tidak mengerti dengan sebenar-benarnya apa itu kebudayaan, tetapi ia telah tertanam dalam jiwa kita kerana dengan sendirinya dapat memandu kita pada berperangai baik dan bersopan-santun.
Kerana P.K.M.S. mengerti betapa pentingnya kebudayaan itu terhadap sesuatu bangsa, maka persatuan ini telah ditubuhkan dengan tujuan bagi mengawal, memelihara, mempertinggi dan memperluas kebudayaan Melayu yang /ms 24/ akan menjadikan Bangsa Melayu hidup subur sebagai satu bangsa yang terkenal dengan budi pekertinya, tingkah lakunya bertamadun dan bersopan-santun.
Dengan berterus terang kita telah mengetahui bagaimana Bangsa Cina memikirkan betapa pentingnya kebudayaan di sisi bangsanya apabila pihak yang berkuasa di Federation mengisytiharkan bahawa Tanah Melayu akan menganjurkan sekolah kebangsaan yang akan menerbitkan satu Bangsa Malayan, maka di situlah terbitnya kekhuatiran Bangsa Cina akan lenyapnya kebudayaan mereka. Untuk mengawal kebudayaan mereka supaya hidup dengan subur, maka langkah mendirikan Nanyang University pun dilancarkan dan mahasiswa ini sedang ditubuhkan dan akan bebas dari pengaruh luar kerana sekolah besar ini ialah didirikan oleh fikiran Cina, tenaga Cina dan dengan perbelanjaan dari Bangsa Cina sendiri. Begitulah penghargaan kebudayaan kepada suatu bangsa yang tahu benar-benar kepentingannya.
Bagi Bangsa Melayu, sedikit sebanyak telah berpuas hati bahawa satu cawangan atau Fakulti Pengajian Melayu telahpun dibangunkan di University of Malaya, dan Tuan Za’ba dijadikan Pensyarah Kanan. Jika fakulti ini ditumpukan dengan pengajian Bahasa Melayu sahaja maka tentulah orang-orang Melayu yang kasihkan kebudayaan Melayu akan terasa tidak puas hati. Tetapi saya percaya bahawa fakulti tersebut mempunyai dasar pengajian kebudayaan Melayu. Kita dapat bekerjasama untuk menjayakannya dengan jalan yang kita boleh buat – itulah: penuhkanlah khutub khanah di cawangan tersebut dengan berbagai-bagai rupa buku berkenaan cerita, istiadat, lembaga, adat resam dan tawarikh Bangsa Melayu. Dengan ini saya percaya Fakulti Pengajian Melayu akan dapat mempelajari kebudayaan Melayu, dan akhirnya akan dapat menyusun pelajaran-pelajaran kebudayaan yang tertentu dan yang boleh menunjukkan kepada mata dunia satu kebudayaan Melayu yang tidak ternilai harganya dan dapat menilai bangsanya mengikut tujuan cogan Pekemas, iaitu: Kebudayaan Nilai Bangsa.
Sekarang cuba kita lihat pengaruh-pengaruh dari luar yang sedang bertiupan dalam kebudayaan Melayu. Satu darinya yang mengambil peranan yang penting ialah filem-filem Melayu buatan tempatan yang pada masa ini diarahkan oleh pengarah-pengarah Bangsa India, yang semestinya membawa dengannya kebudayaan India ke dalam cerita-cerita Melayu, sehingga juga lagu-lagu Melayu yang tulisan dasarnya dicampurkan dengan irama lagu-lagu India. Ini bukanlah kita tidak suka atau menafikan kepentingan untuk memperluaskan kebudayaan kita. Kita bersedia dan mengerti kedudukan Melayu dalam dunia internasional dan perhubungannya dengan luar negeri tentu membebaskan pengaruh-pengaruh masuk ke dalam kebudayaa kita. Kebudayaan kita juga sanggup menerima dengan bertolak-ansur kebudayaan-kebudayaan luar. Kebudayaan juga bertukar dari masa ke semasa menurut perubahan dan peredaran sosial dan faham-faham luar. Dan dengan proses ini akan terbit kebudayaan Melayu yang cantik dengan diterima oleh jiwa dan masyarakat Melayu. /ms 25/ Sebaliknya, jiwa dan masyarakat Melayu akan tidak menerima, dan Pekemas tetap bersedia menahan dan menolak pengaruh-pengaruh asing yang didatangkan dengan secara serangan yang hebat dan gemburan yang tidak bersimpati, atau “hostile action”, dalam artikata k-w-m-r-s.
Oleh yang demikian, maka persatuan ini mestilah mewajibkan dirinya bekerja keras menjaga dan mengawal kebudayaan Melayu. Baru-baru ini P.K.M.S. telah mengemukakan cadangannya kepada pihak yang berkuasa supaya seorang ahlinya dapat dilantik dan duduk dalam Lembaga Penapis Filem. Tetapi kerajaan telah menolak permintaan ini dengan alasan bahawa tidak ada persediaan dalam undang-undang sinematograf bagi membolehkan seorang wakil daripada apa juga pertubuhan dilantik menjadi ahli lembaga tersebut. Kemudian P.K.M.S. telah mengemukakan kepada seorang ahli Majlis Undang-undang supaya soal ini dapat dibincangkan ke peringkat yang tertinggi. Sehingga hari ini kita belum lagi dengar apa juga keputusannya. P.K.M.S. tidak akan berputus asa kerana ini adalah hak kebudayaan Melayu dan Bangsa Melayu. Maka kita akan menyusun tekad dan mencari ikhtiar lagi supaya permintaan kita dapat ditimbangkan dengan saksama dan dapat diluluskan bagi faedah bangsa untuk mengawal kebudayaan kita yang sedang dikacuk-adukkan oleh setengah daripada filem-filem Melayu yang diarahkan oleh pengarah-pengarah bangsa asing.
Dengan kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab yang telah saya bayangkan di atas, saya berharap bahawa jawatankuasa baru akan sanggup bekerja dengan rapi dan giat supaya cita-cita Pekemas akan berjaya buat meninggikan dan memperluaskan kebudayaan kita untuk masyarakat dan Bangsa Melayu. P.K.M.S. tetap memperjuangkan dirinya dengan pedoman cogannya iaitu: Kebudayaan Nilai Bangsa. (Tamat)