Berbagai Aliran Dalam Seni

Title | Tajuk : Berbagai Aliran Dalam Seni (sambungan yang lalu)
Magazine | Majalah :  Bil. 5, Majalah Seni
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : 22 January 1954
Page | Mukasurat : 16

Garis-garis yang digunakan dalam aliran ini adalah terang kelihatan, dan “komposisyennya” (campur warna atau garis-garis dan sebagainya) tidak langsung kelihatan. Kehilangan “komposisyen” ini dari lukisan-lukisan ini adalah menyebabkan lukisan-lukisan itu hilang akan keindahannya.

Dalam negeri Jerman, di kala cara-cara lukisan ini sedang bersemarak, mereka yang menganut faham tersebut seringkali didapati melukis kebuasan dan rintihan batin mereka, yang mana dianggap sebagai cermin yang dapat menggambarkan suasana kehidupan mereka dewasa itu.

Hasrat mereka untuk menukar cara hidup kepada lebih senang lagi, dan keinginan mereka hendak membuang segala adat-istiadat masyarakat dewasa itu. Pendek kata, semuanya telah dibayangkan oleh mereka dalam lukisan-lukisan mereka. Perkembangan lukisan-lukisan seperti ini kian bertambah-tambah dan telah dapat menarik perhatian orang ramai, kerana benda-benda lukisan (objects) boleh dikatakan semuanya dipilih dari kehidupan manusia, terutama bangsanya sendiri. Sejak itu, “Ekspressionisme” mula berakar-umbi dalam seni lukis dunia. Dalam aliran ini juga kita dapati berbagai-bagai jenis teknik yang berasing-asingan.

Di antara pelukis-pelukis yang menganut faham “Ekspressionisme” termasuklah: Oto Dix, Franz Marc, Max Reostein, Coi Casper, Max Undd dan banyak lagi.

Impressionisme:

Lukisan-lukisan seorang pelukis yang bernama Claude Monet yang ditunjukkannya dalam satu pertunjukan lukisan di Paris dalam tahun 1874 telah menghairankan para pelukis dewasa itu. Tidak lama kemudian, lukisan-lukisan yang bersealiran dengan lukisan-lukisan pelukis tersebut kian bertambah-tambah. Dan kemudian golongan lukisan ini dinamakan dengan “Impressionisme”.

Pelukis Eduard Monet, yang telah mengadakan pertunjukannya yang pertama kali dalam tahun 1865 di sebuah dewan tetamu (Salon) Olimpia (Louvre Museum), adalah dipercayai sebagai pelopor yang mengembangkan aliran tersebut dalam seni lukis. Bila aliran ini telah diakui, maka kemudian banyaklah pelukis-pelukis lain: Pissaro, Monet, Cezanne, dan lain-lain lagi. Juga termasuk seorang pelukis Amerika bernama Mary Cassat mula menurut akan aliran ini. Aliran ini juga telah meresap ke dalam seni lukis Jepun, kira-kira dalam tahun 1868.

Oleh kerana “Impressionisme” ini adalah satu aliran yang dipengaruhi oleh ukiran kayu dari kesenian Jepun, maka tidak hairanlah bahawa lukisan-lukisan “Impressionisme” itu seringkali menyerupai “mosaic” (ukiran-ukiran yang dibuat dengan kaca-kaca atau batu kecil yang berwarna-warni). Dan aliran ini juga sering didapati dalam ukiran-ukiran “panorama” (ukiran-ukiran di tembok atau dari benda-benda yang bulat panjang), dalam mana perbezaan warna dan bentuk-bentuk itu terang kelihatan. Cara melukis gambar-gambar ini kita dapati dari buah tangan pelukis Pissaro dan Monet yang dicontohi oleh mereka dari lukisan-lukisan pelukis Turner, pelukis yang pertama sekali melukis dengan tidak mengendahkan campuran warna yang boleh menimbulkan bayang atau menghidupkan gambar dan sebagainya. Warna-warna ini ditaruhkannya berjajar-jajar. Akan tetapi, bila dilihat dari jauh, warna-warna yang dijajarnya kelihatan bercampur dan menghidupkan lukisan. (Bersambung)

Comments are closed.