Jejak Seni Pelukis-Pelukis Kita

Title | Tajuk : Jejak Seni Pelukis-Pelukis Kita
Magazine | Majalah :  Bil. 6, Majalah Seni
Author | Penulis : Zaim Idham
Date | Tarikh : 22 Feb 1954
Page | Mukasurat : 12-13

Satu daripada perhatian kita kepada masyarakat Bangsa Melayu hari ini, maka tak boleh kita lupakan kepada usaha-usaha dan tenaga-tenaga jejak yang diperolehi kejayaan cemerlang terhadap para pelukis kita. Bahkan kepada pelukis kitalah tergantung beberapa nilaian “seni lukis” yang berupakan semata-mata untuk ketinggian kesenian dan kebudayaan Bangsa Melayu. Seterusnya kita walaupun sendiri tidak dapat atau jarang mendapat kupasan-kupasan sendirian-sendirian dari para artis kita, tetapi setahu tinjauan kita mengenai jejak pelukis-pelukis Melayu hari ini adalah mempunyai corak yang lain dari yang lain. Artinya, kalau angkatan pelukis-pelukis Melayu dulu hanya memandang kepada sekitar alam permai saja untuk jadi bahan lukisannya, maka kini adalah mempunyai corak-corak yang berlainan. Ini dapat kita artikan dengan beberapa bukti yang nyata di hari ini. Dan sebagai di sini kita bentang beberapa buah fikiran dari pertemuan kita dengan pelukis-pelukis yang terkenal di Malaya ini. Antara lain, pelukis-pelukis itu memberi pendapat mereka bahawa “mengikut istilah dari sesetengah masyarakat yang kurang faham tentang seni lukis” mengatakan adalah pelukis-pelukis Melayu, atau tegasnya cara-cara jejak seni lukis Bangsa Melayu, dibatas-bataskan dengan had-had yang tertentu, iaitulah dengan hanya menyampaikan kesenian lukisan itu berupakan pandangan keindahan alam sahaja.”

Sangkaan masyarakat yang sebegitu adalah salah, malah bukan pada tempatnya. Tetapi yang sebenarnya maksud artikata “seni lukis” itu nyatalah mempunyai arti yang luas. Alihkan saja pandangan kita dengan telitinya, maka ternyatalah bahawa bukanlah saja terhad pada lingkungan pemandangan-pemandangan keindahan alam yang penuh dengan soal sekitarnya itu mesti kita katakan seni lukis atau yang hanya dapat digambarkan oleh pelukis-pelukis kita. Tidak! Malahnya, seperti: gambar-gambar yang terdapat dengan jalan dilukis dalam surat-surat khabar, majalah-majalah, poster-poster wayang gambar, iklan-iklan yang diiringi dengan gambar, catitan tentang faktor-faktor dalam sesebuah cerita pendek (seperti yang dibuatkan oleh Majalah Mutiara dan lain-lain lagi); semuanya dikatakan seni lukis. Jadi di sini mengertilah kita tidak saja lukisan-lukisan yang merupakan gambar-gambar dari ciptaan lukisan cat air (water colour) itu dikatakan oleh istilah lukisan. Bahkan seperti kita sebutkan itu jua adalah mempunyai artikata yang realist yang arena “seni lukis”.

Dengan lebih lanjut kita katakan seorang “seni lukis” samalah artinya dengan seorang ahli ukir; dia dapat saja membuat ukiran-ukiran itu mengikut kehendak yang ditugaskan oleh seseorang yang empunya hak yang menyuruh. Ahli ukir itu adalah pula sentiasa mempunyai cita-cita tinggi untuk memperkenalkan teknik-teknik dan kesenian ukirannya yang indah itu kepada masyarakat, dengan berdasarkan tujuan supaya ketinggian keukiran seni itu dikenal pula oleh seluruh Bangsa Melayu dan di mata internasional sejagat.

Demikianlah jua tentang perdirian atau kedudukan ahli-ahli seni lukis. Dia tidak harus jemu, tidak harus bosan menekun menugas cita-cita seni lukisnya. Bahkan dia harus ada mempunyai cita-cita perseimbangan untuk menerjunkan tarikan orang Melayu seumumnya supaya sama menghormati dan mempertahankan “kesenian dan kebudayaan Bangsa Melayu”. Tarikan itu pula bukan saja tertumpu pada beberapa golongan, malah meliputi segenap lapisan Bangsa Melayu umum. Kita saksikan sajalah seperti /ms 13/ hari ini telah ada jejak seni pelukis-pelukis kita yang sesungguhnya membela hak-hak kesenian Melayu sejati dan sentiasa pula memberi pembaruan kesenian kepada tiap-tiap seni yang dilukiskan. Jejak-jejak itu dapat kita buktikan beberapa orang pelukis Melayu yang terkemuka hari ini seperti: Saidin Yahya, Nas Achnas, Amin Jaya, dan lain-lain lagi pelukis Melayu yang tidak asing nama-nama mereka dari senarai (r-t-y-s). Dari jejak pelukis-pelukis itu pula mereka sering mempunyai hasrat yang membumbung tinggi cita-citanya hinggalah tercipta beberapa buah buku komik Melayu yang ada sekarang ini. Di antaranya yang amat menarik perhatian orang ramai dan pencipta-pencipta/pencinta-pencinta seni lukis Melayu ialah buku-buku komik yang merupakan cerita-cerita zaman kebesaran kedaulatan Bangsa Melayu Melaka, iaitulah buku-buku komik Putera Hang Tuah yang baru beberapa bulan dulu dikeluarkan. Sungguh menjadi bangga kepada orang Melayu dengan memandang kepada hasil pengarang dan pelukis Putera Hang Tuah (Saidin Yahya) itu.

Kerana kebijaksanaan menyusun dan melukis itu adalah satu-satunya kenyataan yang membuktikan betapa besar peri kedaulatan dan semangat anak-anak Melayu di masa dahulu. Dan itulah jua berarti membongkarkan kesenian Bangsa Melayu dan kebudayaan Melayu sejati. Kita rasanya jejak yang punya pada pelukis muda Saidin Yahya itu akan lebih menimbulkan cita-cita meninggikan taraf Bangsa Melayu dengan seni lukis. Kerana kesannya dan kejejakan seni lukis demikian nyatalah seni yang sejati membayangkan kebudayaan yang tak mesti kita abaikan.

Kita berani berkata bahawa suatu bangsa itu jika tidak menciptai/mencintai “seni” bangsa dari hasil ciptaan buah kebudayaan angkatan pelukis-pelukis bangsanya sendiri maka sesungguhnya orang itu adalah manusia yang dogmatik beku jiwanya. Sedang kepada orang yang selalu memperbaharui dan menghormati “seni” bangsa sendiri itu adalah manusia yang berjiwa “artistik” dan orang begini sajalah yang mengerti dan tau menilaikan sesuatu hasil “seni”, termasuklah dalam soal menilaikan: seni sastera, seni tari, seni nyanyi, seni suara dan lain-lain jenis kebudayaan lagi yang melahirkan dengan artikata “seni”. Andai kata hanya sesiapa yang sering mengikuti detik demi detik tiap-tiap harga seni-seni tadi sahajalah yang dapat memberi tegasan kepada perletakan nilaian hasil-hasil seni Bangsa Melayu.

Hinggalah ke hari ini masyarakat belum lagi memberi ketetapan hasil nilaian seni pelukis-pelukis kita Bangsa Melayu. Tetapi kita meyakini bahawa jejak-jejak pelukis kita itulah yang akan membuka mata masyarakat dan anak-anak masyarakat mengenal ciptaan-ciptaan seni lukis Melayu. Dengan syarat hendaklah tiap pelukis kita memperbaikkan/memperbanyakkan lagi buku-buku merupakan buku-buku seperti komik-komik, cerita-cerita yang membina fikiran bersulam dengan gambar-gambar yang bernilai seni, dan pertunjukan seni lukis pelukis Melayu di seluruh Tanah Melayu guna untuk memperkenal pelukis-pelukis Melayu yang senarainya hampir-hampir tenggelam oleh pengaruh kebudayaan dan kesenian Melayu.

Dan seperkara lagi yang patut kita ingatkan, buku-buku yang mengenai komik-komik yang memada dari hasil catitan sejarah atau dengan tinjauan tentang kedudukan masyarakat adalah amat penting untuk masyarakat Melayu akan datang. Supaya cara perubahan kemajuan seni lukis itu dapat mengatasi atau sekurang-kuranya menyamai seni-seni bangsa yang telah maju lebih dulu dari kita. Harapan untuk menuju kemajuan agung dari soal seni lukis Melayu memang tergantung kepada dasar-dasar tujuan perjuangan pelukis Melayu. Juga kepada masyarakat Melayu seumumnya supaya menghormati ciptaan pelukis Melayu hari ini dan akan datang.

 

Comments are closed.