Title | Tajuk : Kita Hormati Bakat Pelukis-Pelukis Tanah Air
Magazine | Majalah : Bintang
Author | Penulis : –
Date | Tarikh : No 82, 16 September 1958
Page | Mukasurat : 17
Campur dengan tiga orang pelukis yang lukisannya kita siarkan dalam keluaran ini (A. Daud, Cahaya Arni dan M. Ali P. Abdullah) maka jumlah semuanya sejak pihak kita berusaha mengumpulkannya ini ialah seramai 9 orang – masih ada lagi bakat-bakat itu yang akan menyusul kemudian.
Saudara A. Daud dari Batu Kurau, Taiping (Perak) telah melukiskan wajah saudara S. Romai Noor – ia melukis dengan dakwat hitam di atas kertas yang memang biasa digunakan untuk lukisan.
Saudari Cahya Arni dari Pasir Mas (Kelantan) melukiskan wajah saudari Umi Kalsom dengan dakwat hitam juga tetapi lukisannya itu dibuat di atas kertas putih yang tipis.
Akhir sekali ialah saudara M. Ali P. Abdullah dari Lubuk Merbau, Kuala Kangsar (Perak) melukiskan wajah saudara Maria Menado dengan dakwat hitam juga di atas kertas yang biasa digunakan untuk lukisan.
Agak perlu juga rasanya kita terangkan di sini untuk pengetahuan kawan-kawan yang merasa ingin hendak mengirimkan lukisan kepada kita, iaitu segala rupa lukisan yang dikirimkan dengan maksud untuk disiarkan sebaik-baiknya hendaklah diperbuat dengan dakwat hitam atau biasa disebut dengan nama “Indian ink”. Lukisan yang dibuat dengan pensil kayu hendaklah dibuat terang sehingga kelihatan ia hitam dalam bentuknya. Hal ini adalah ditujukan supaya lukisan itu dapat dibuat block dan kelihatan agak terang dan nyata setelah dicetak kelak. Lukisan-lukisan yang dibuat dengan pensil kayu yang tidak terang tidaklah dapat kita buatkan block untuk disiarkan kerana usaha serupa itu hasilnya agak sia-sia jadinya kelak.
Di antara lukisan-lukisan yang telah kita siarkan dalam ruangan ini, ada satu daripadanya yang dibuat dengan pensil kayu iaitu lukisan saudara H.I. Adam yang merupakan wajah saudari Rosnani dalam keluaran 16 Ogos (bilangan 80) yang lalu. Perhatikanlah hasilnya agak kurang memuaskan sebab ia kelihatan kelam-kelam sahaja – tidak seperti lukisan-lukisan yang dibuat dengan dakwat hitam.
Selain daripada itu di samping kita menghormati bakat pelukis-pelukis tanah air ini sebenarnya tidaklah kita akan menyebarkan dengan cara sembarangan sahaja. Kita terpaksa memilih lukisan-lukisan yang dibuat dengan terang serta dapat menurunkan wajah yang dilukiskan itu dengan agak sempurna.
Sekian sahaja.
“Selamat melukis.”