Pengaruh Seni Lukis Islām

Title | Tajuk : Pengaruh Seni Lukis Islām
Magazine | Majalah : Qalam
Column | Ruangan : Kebudayaan Islām 

Author | Penulis : Profesor Dr. A. H. Christie
Date | Tarikh : Bil 86, September 1957
Page | Mukasurat : 22-24

Setelah menghuraikan bagaimana besarnya pengaruh seni lukis Islām di Eropah, maka Prof Christie telah menutup maqalahnya yang berharga ini dengan berkata: “Demikianlah Islām telah menampung peradaban dunyā ini, bukan untuk bangsa ʻArab yang mula pertama menerimannya sebagai agama, tetapi telah dapat dinikmati oleh seluruh umat manusia.” – Pengarang Qalam.

(Oleh: Prof Dr A. H. Christie)

Seni lukis Islām telah jejak di Eropah sebelum qurun Masihi yang ketujuh belas. Tidak ada perselisihan faham orang tentang kebenaran pendapat ini. Yang menjadi penyelidikan sekarang, sampai ke mana Islām telah mempengaruhi seni lukis Eropah.     Salah seorang pelukis Eropah yang terpengaruh oleh seni lukis Islām ialah Rembrandt, ia disebut juga “Van Rijn” seorang pelukis Belanda, diperanakkan di Leiden dalam tahun 1608, dan mati pada tahun 1669. Sebuah gambar yang sangat mempengaruhinya ialah gambar “keluarga Raja di Dehli – India”. Gambar itu telah dibawa dari timur ke negeri Belanda, kemudian Rembrandt melukiskannya semula.

Banyak lagi pelukis-pelukis Eropah yang mendapat pengaruh dari lukisan-lukisan Islām ini, di antaranya seorang pelukis Itali yang terkenal: Raphael Santi, yang hidup antara tahun 1480-1520M., diperanakkan di “Urbino”. Bagi mengulangi jejak pengaruh Islām itu kembali di seluruh Eropah, memang agak sukar dilakukan. Akan tetapi pengaruh Islām itu mudah dapat dilihat di Itali selama qurun yang kelima belas dan yang keenam belas. Rupanya pengaruh lukisan Islām itu masuk ke Eropah lebih banyak dengan melalui negeri Itali.       Sebelum orang Islām menguasai bahagian daerah barat (Sepanyol), pengaruh lukisan Islām itu telah sampai juga ke Eropah.

Bagaimana Rembrandt telah dipengaruhi oleh Islām dalam lukisannya, dijelaskan oleh penulis Eropah, F. Sari, dalam sebuah bukunya yang diterbitkan dalam tahun 1904. Pelukis-pelukis Eropah mendapat contoh tentang bentuk berjenis-jenis binatang dari gambar-gambar yang telah dilukis oleh pelukis-pelukis Islām. Gambar-gambar ini kelihatan menjelma kembali dari pelukis-pelukis Eropah dalam qurun yang ketujuh belas Masihi. Ada sebuah buku bahasa Latin yang membentangkan bagaimana pelukis-pelukis Eropah telah meniru lukisan-lukisan Islām . Buku itu bernama Apocalypse dikarang oleh Beatos, dan sekarang tersimpan dalam “Biblioteca Nacional”, di Paris. Hal ini juga telah disebut oleh Jean Ebersolt dalam bukunya “Orient et Occident” yang diterbitkan di Paris dalam tahun 1928.

Sekolah seni rupa yang dinamakan Limoges yang sangat terkenal dalam Zaman Pertengahan, ialah sebuah sekolah menggambar yang dinaungi oleh pengaruh lukisan Islām . Perhubungan secara langsung dalam dunyā seni rupa ini antara Kristian Eropah dengan dunyā Islām tidak begitu jelas kelihatan, seperti yang didapati pada seni pahat, binaan-binaan dan pekerjaan pertukangan logam. Pengaruh kebudayaan Islām di Eropah, sebahagian besar disebabkan oleh kerana masuknya barang-barang Islām itu ke negeri-negeri benua itu cara yang digunakan oleh ahli-ahli seni Eropah dalam pekerjaan menggambar dan melukis adalah seluruhnya cara pelukis-pelukis Islām. Kebanyakan pengaruh ini datangnya dari berbagai-bagai corak kain-kain sutera orang-orang Islām yang dibawa masuk ke Eropah. Kadang-kadang kita jumpai bentuk Eropah itu menunjukkan berasal dari daerah-daerah yang jauh dari dunia Islām, umpama India, negeri China dan lain-lainnya. Dengan demikian kelihatan seolah-olah Eropah menerima pengaruh dari negeri-negeri yang tersebut dengan secara langsung. Sebenarnya bukan demikian, orang-orang Islāmlah yang membawa bentuk-bentuk itu ke Eropah.

Berbagai-bagai jenis seni tua yang telah sampai ke Eropah, dan dengan adanya itu, orang menyangka bahawa orang-orang Eropah sendiri yang memperolehinya dengan secara langsung dari sumber seni itu sendiri, umpamanya dengan gambar “Pohon Suci” orang “Kaldan”. Sebenarnya gambar-gambar itu dibawa oleh orang-orang Islām ke sana. Orang Islām memperolehinya dari pelukis-pelukis kaum “Sasan”. Pohon Suci ini biasa dinamakan “Pohon Kehidupan”, yang biasanya dilukiskan dengan diapit oleh dua ekor binatang yang berhadap-hadapan. Pelukis Eropah biasa meniru gambar-gambar itu dengan menghilangkan kayunya. Padahal di timur, kayu itu yang diutamakan dan itulah yang menjadi gambar utama dalam lukisan itu. Akan tetapi pelukis-pelukis Eropah tidak tertarik kepada yang demikian itu, mereka hanya tertarik kepada binatangnya. Itulah sebabnya di Eropah telah diciptakan oleh berbagai-bagai pelukis, gambar-gambar binatang, yang sebenarnya tidak ada wujudnya di Eropah. Mereka meniru itu dari gambar-gambar Islām yang sampai di Eropah.

Selain daripada itu, gambar-gambar tua yang didapati sebelum Islām, kemudian dalam zaman Islām dilukis semula, besar pula pengaruhnya di Eropah. Di antara gambar-gambar yang seperti itu, didapati gambar-gambar binatang yang berkepala dua. Kebanyakan gambar-gambar ini lebih banyak pengaruhnya dalam seni rupa daripada seni biasa di Eropah. Seni rupa yang berdasarkan binatang-binatang yang berkepala dua, yang diambil dari lukisan-lukisan Islām, kebanyakannya kita dapati di Eropah pada batu-batu peringatan dan dalam gereja-gereja Kristian….

Ada beberapa keadaan yang menyebabkan banyaknya bentuk gambar pelukis-pelukis Islām ini banjir di Eropah. Pertama kerana terjadinya “Perang Salib”. Orang-orang Eropah yang mengharungi Perang Salib (dan melanggar dunia Islām itu) ada yang tertarik kepada seni lukisan-lukisan itu lalu membawanya ke Eropah sebagai contoh yang lainnya membawa ke Eropah sebagai buah tangan dari timur. Selain daripada itu, kerana wujudnya beberapa pelabuhan perdagangan Eropah yang didatangi dengan secara langsung oleh kapal-kapal perdagangan Islām . Di antara pelabuhan-pelabuhan yang tersebut ialah Geneva, Pisa dan Venice. Sudah menjadi suatu kebesaran dan merasa bangga pada zaman itu bagi orang-orang Eropah yang menyimpan lukisan-lukisan Islām di rumahnya. Oleh sebab itu, “Sekolah Lukis” yang didirikan oleh Sinis kebanyakannya membuat gambar-gambar yang berdasarkan bentuk Islām. Pengaruh ini lebih jelas kelihatan dari hasil seni Itali yang dinamakan “Seni Tuscany”.  Gambar serban dan bentuk muka orang timur, kelihatan pada lukisan-lukisan Itali, semenjak permulaan qurun Masihi yang keempat belas. Gambar-gambar yang demikian ini ditiru dari lukisan-lukisan Islām. Bentuk-bentuk asing yang menjelma dalam lukisan-lukisan Eropah itu menyatakan bagaimana dalamnya Islām telah mempengaruhi mereka dalam lapangan seni rupa. Pelukis-pelukis Eropah itu menggambarkan kuda air, menggambarkan monyet dan burung nuri, semuanya itu ditirunya dari gambar-gambar pelukis-pelukis Islām yang dilukiskan sebagai hiasan pada permaidani-permaidani dan pakaian. Haiwan dan benda-benda itu sebenarnya tidak ada wujudnya di Eropah. Gambar-gambar pemandangan pun, melihat kepada corak kayu-kayunya, mengetahuilah kita bahawa lukisan-lukisan pemandangan itu pun asalnya daripada lukisan-lukisan Islām belaka. Semua lukisan yang zahir dalam Zaman Pertengahan di Eropah itu, sebahagian besar ialah tiruan dari lukisan-lukisan Islām.

Huruf-huruf ʻArab

Yang sangat menjadi perhatian ialah kebiasaan orang-orang Eropah menghiasi gambar-gambar pada berbagai-bagai alat rumahtangganya, dengan menggunakan huruf-huruf ʻArab. Pada hal mereka itu tidak mengetahui huruf itu. Mereka membuat yang demikian hanyalah meniru-meniru sahaja, kerana tertarik kepada keindahannya dipandang dari segi perhiasan. Indah rasa memandang ini menjadi suatu yang terpenting dalam pengertian menilai seni rupa.         Lapangan ini sangat besar mempengaruhi pekerja-pekerja Kristian. Keadaan ini telah menarik perhatian orang-orang terpelajar Eropah bagi menyelidikinya lebih jauh. Semenjak “Adrian de Longfrie” mengeluarkan tulisannya tentang ini dalam majalah “Review Archeology”, maka terbukalah mata orang, bahawa sebenarnya orang-orang Eropah itu telah dipimpin dalam dunyā seni oleh orang Islām .

Kemudian pekerjaan yang telah dimulai dalam tahun 1846 oleh Adrian de Longfrie itu telah dilanjutkan oleh ahli-ahli pengetahuan purbakala dengan memperoleh bahan-bahan yang sebanyak-banyaknya. Bahagian besar dari bahan-bahan itu telah dituliskan dengan gilang gemilang oleh Prof Dr A. H. Christie dalam “Burlington Magazine” dengan tajuk “Perkembangan Perhiasan Eropah dari Tulisan ʻArab.”

Sebahagian dari lukisan-lukisan Eropah yang membawa pengaruh tulisan ʻArab ini, ialah pelukis Itali yang bernama Giotto. Pada sebuah lukisannya yang bernama “Resurrection of Lazarus”, digambarkannya hiasan-hiasan huruf ʻArab itu pada bahu kanan Nabi Isa. Lukisan ini sekarang disimpan dalam Arena Chapel de Padua.

Pelukis-pelukis Itali “Fra Angelico” dan “Fra Lippo Lippi”, tidak merasa puas melukis gambar kalau hiasan huruf ʻArab itu tidak ditaburkan di dalamnya. Sebuah daripada lukisannya yang bernama “Pemahkotaan Anak Dara” pakaian anak dara ditaburi dengan hiasan-hiasan huruf ʻArab itu. Penyelidikan-penyelidikan kemudian menganggarkan bahawa pelukis-pelukis ini memperolehi tiruan huruf ʻArab dari kain-kain sutera, lampu-lampu (candle) dan pasu-pasu Islām yang dimasukkan orang ke Eropah. Dengan demikian, ternyatalah betapa dalamnya pengaruh kebudayaan Islām ini di Eropah.

Demikianlah Islām telah menampung peradaban dunia ini, bukan untuk bangsa ʻArab yang mula pertama menerimanya sebagai agama, tetapi telah dapat dinikmati oleh seluruh umat manusia.

Diringkaskan dari “Media” Jogjakarta.

 

Comments are closed.